Mohd Asri menunjukkan sarung bantal yang digunakan untuk membalut dadah bunga ganja sebelum dikurier oleh suspek ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

KUANTAN – Helah menggunakan sarung bantal dan t-shirt  menerusi sistem kurier Pos Malaysia dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang.

Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata, pihaknya berjaya menyekat kesemua bungkusan penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan syarikat perkhidmatan kurier dari Terengganu dan Selangor untuk dieksport ke Britain bernilai RM1.4 juta.

Kes melibatkan komoditi dadah dalam bentuk bunga ganja yang dibungkus dalam sejumlah bungkusan untuk dieksport ke beberapa lokasi di luar negara dengan nilai sitaan RM1,405,320 membabitkan tiga kes berasingan pada 5 Mei lalu di Temerloh, Bentong dan Kuantan.

”Kes pertama berlaku pukul 3.10 petang apabila Bahagian Penguatkuasaan JKDM Temerloh dengan kerjasama Bahagian Perkastaman JKDM di KLIA telah menjalankan pemeriksaan rapi ke atas sejumlah bungkusan.

”Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui bahan organik yang disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat sebanyak 6,200 gram dan dianggarkan bernilai RM666,400,” katanya ketika sidang media hari ini.

Kemudian pada lebih kurang pukul 3.20 petang, pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong telah menerima serahan kes dan pemeriksaan rapi dijalankan.

Mohd Asri berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui bahan organik yang disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat sebanyak 3,200 gram dan dianggarkan bernilai RM313,600.

Manakala kes ketiga lebih kurang pukul 3.30 petang, pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan menemui bahan organik yang disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat sebanyak 4,340 gram dan dianggarkan bernilai RM425,320.

Kesemua bungkusan yang telah diimbas dan menunjukkan imej menyerupai bahan organik di Pusat Mel dan Kurier, KLIA.

Jelas Mohd Asri, bunga ganja adalah dikategorikan dadah berbahaya yang disenaraikan di Butiran I, Bahagian I, Akta Dadah Merbahaya 1952 dan siasatan lanjut masih dalam siasatan.

Ketiga-tiga kes di atas disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan pesalah boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumurhidup, dan sekiranya hukuman diberikan oleh mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, pesalah hendaklah juga disebat tidak kurang dari 15 sebatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast