Onn Hafiz berucap dalam mesyuarat pertama penggal Persidangan Keempat DUN ke 15 di Bangunan Sulatan Ismail, Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 155,074 akaun pengguna air melibatkan kategori domestik dan bukan domestik akan menerima rebat 15 peratus bagi bil air bulan ini susulan gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan baru-baru ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ini melibatkan akaun pengguna termasuk kediaman individu, rumah ibadat, institusi kebajikan, premis perniagaan dan industri.

“Rundingan bersama pihak Ranhill SAJ telah diadakan bagi mencari penyelesaian yang adil dan bertanggungjawab.

“Saya sedar dan insaf bahawa bantuan ini mungkin tidak setara dengan kesusahan yang dialami oleh mereka yang terkesan.

“Namun, saya berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Sebelum itu, isu gangguan air tersebut telah dibangkitkan oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas krisis bekalan air berlaku pada Rabu lalu.

Antaranya ADUN Benut, Kukup, Pemanis, Sri Medan, Panti, Kahang, Tiram, Pulai Sebatang, Kota Iskandar, Johor Jaya, Kemelah, Sungai Balang, Bukit Naning dan Skudai.

Onn Hafiz yang juga ADUN Machap turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Johor yang terkesan dengan gangguan air tersebut.

“Rakyat terpaksa bersusah payah selama empat hari tanpa bekalan air yang mencukupi.

“Saya faham, ini bukan satu isu yang kecil, lebih-lebih lagi apabila ia mengganggu kehidupan seharian keluarga, pengoperasian sekolah, hospital dan premis perniagaan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan RSAJ untuk membaik pulih kerosakan pada pam air dan menggerakkan segala jentera serta tenaga kerja bagi mengurangkan kesusahan rakyat.

“Sebanyak 42 lori tangki air, 51 tangki statik, dan 13,000 karton air mineral telah dihantar ke kawasan-kawasan terjejas sepanjang tempoh tersebut.

“Sebuah taskforce juga telah ditubuhkan bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Pada Rabu lalu, kira-kira 100,000 akaun pengguna di sekitar Johor Bahru terjejas susulan kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata, kerosakan itu menyebabkan operasi LRA Sungai Johor terpaksa dihentikan sepenuhnya sejak petang Selasa.

Beliau berkata, gangguan itu mengakibatkan 318 juta liter sehari (MLD) tidak dapat diagihkan kepada pengguna di kawasan terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast