KUALA LUMPUR – Visi Komuniti Asean (ACV) 2045 disifatkan sebagai satu konsensus penting dan kuat dalam memandu perjalanan ASEAN untuk tempoh 20 tahun akan datang.
Pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, berbanding 10 tahun lalu iaitu ketika ACV 2015 diperkenalkan, ASEAN telah melakar beberapa kejayaan penting dari sudut pertumbuhan ekonomi; kelestarian alam sekitar; keselamatan; pengaruh politik dan sebagainya.
Sehubungan itu, menurut beliau, ACV 2045 diperlukan untuk memastikan pertumbuhan yang dicapai ASEAN khususnya sejak 10 tahun lalu dapat diteruskan dengan lebih baik untuk tahun-tahun mendatang, khususnya bagi tempoh 20 tahun ke hadapan.
Ujarnya, beliau tidak melihat kesukaran untuk ASEAN mencapai sasaran yang digariskan menerusi ACV 2045 lebih-lebih lagi visinya diperbaharui ketika Malaysia merupakan Pengerusi blok tersebut, selain komitmen yang ditunjukkan oleh negara-negara anggotanya.
Bagaimanapun, tambah Salawati, cabaran tetap wujud dalam pelaksanaan visi itu khususnya berhubung status dan taraf negara-negara anggota yang berbeza.
“Misalnya Singapura merupakan negara maju, manakala negara seperti Malaysia; Thailand; Indonesia dan Filipian pula negara membangun.
“Kemudian kita ada negara-negara yang ekonominya agak terkebelakang iaitu CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam) yang mungkin berdepan kesukaran untuk mengejar atau bersaing dengan negara anggota lain khususnya Singapura.
“Jadi kita mengharapkan dengan adanya ACV 2045 ini, negara-negara CLMV ini dapat dibantu supaya seluruh penduduk di rantau ini mendapat manfaat pembangunan yang setara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sementara itu, Salawati berkata, ASEAN memerlukan konsensus seperti ACV 2045 memandangkan negara-negara di rantau ini tidak terikat menerusi satu perundangan khas seperti negara-negara di blok lain sebagai contoh Kesatuan Eropah.

Sehubungan itu, katanya, konsensus yang amat kuat seperti ACV 2045 diperlukan dalam memastikan rantau ASEAN turut mempunyai pengaruh dan mampu berperanan dengan lebih berani dalam isu-isu global.
Pada 10 tahun lalu, di bawah kepimpinan Malaysia, pemimpin ASEAN meletakkan asas yang kukuh ke arah pembinaan rantau ini menerusi Visi Komuniti Asean (ACV) 2025.
Tahun ini, visi itu kembali diperbaharui menerusi ACV 2045 dengan Malaysia sekali lagi memimpin, tetapi dengan wawasan yang lebih panjang iaitu selama 20 tahun.
Ia secara tidak langsung menggambarkan keyakinan negara-negara anggota ASEAN terhadap kemampuan dan komitmen Malaysia dalam mengemudi visi AVC seterusnya mencapai matlamat serta objektif yang ditetapkan menerusi visi tersebut.
Secara dasarnya, visi itu menggariskan empat Pelan Strategik utama meliputi aspek Politik-Keselamatan, Ekonomi, Sosio-Budaya dan Kesalinghubungan.
Sebaik sahaja dilancarkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, ia akan berperanan sebagai peta hala tuju strategik selama 20 tahun yang akan diterima pakai dan dijadikan panduan oleh negara-negara di rantau ini.
Lebih mustahak, pelan itu dirangka dengan lebih berani, pragmatik dan realistik untuk memastikan rantau ASEAN dapat dipimpin dan dibangunkan dengan berkesan di sebalik ketidaktentuan geopolitik dunia dan perang perdagangan antarabangsa.
Dalam masa sama, pelan strategik itu juga dirangka untuk membimbing ASEAN dalam menetapkan keutamaan setiap negara anggota serta dalam masa sama, mengekalkan perpaduan, solidariti dan kepusatan ASEAN.

Selain itu, pelan tersebut turut mengiktiraf keperluan rantau ini untuk bekerjasama rapat dengan rakan global dan menyediakan tindak balas yang strategik serta realistik bagi tempoh dua dekad akan datang.
Dengan kekuatan daripada kepelbagaian dan keyakinan bahawa perbezaan bukanlah pemisah, AVC 2045 akan menjadi batu asas kepada pembinaan jambatan ke arah persefahaman yang lebih baik dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Sebagai Peneraju Utama atau Permanent Shepherd visi itu, Malaysia sudah semestinya akan memastikan ia menjadi kerangka utama dalam menangani cabaran semasa dan akan datang melalui pelbagai kerjasama strategik yang telah dikenal pasti.
Dengan tempoh pelaksanaan yang panjang, visi itu diletakkan sasaran untuk mengangkat ASEAN sebagai contoh kepada dunia sebagai rantau yang bersepadu dari aspek politik, ekonomi dan sosial. – MalaysiaGazette
















