Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul bergambar bersama Wakil-Wakil Antara Parlimen berikutan Sesi Suamuka pemimpin ASEAN bersama Wakil-Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Krisis tarif Amerika Syarikat (AS) susulan dasar ekonomi pentadbiran Donald Trump telah mendorong ASEAN mengambil pendekatan konsensus sebagai jalan penyelesaian bersama.

Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Tan Sri Datuk Johari Abdul menyifatkan tekanan ekonomi semasa sebagai antara cabaran terbesar dalam sejarah ASEAN.

Justeru Sidang Kemuncak ASEAN kali ini menjadi antara yang paling penting pernah diadakan.

“Bagaimana kita tangani situasi yang tidak menentu ini? Jawapannya ialah konsensus. Pendekatan kolektif yang dibina melalui persefahaman antara pemimpin ASEAN membolehkan setiap negara anggota menangani isu itu mengikut kepentingan dan dasar nasional masing-masing tanpa mengorbankan prinsip perpaduan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat ASEAN-AIPA Leaders Interface ke-14 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah mengambil langkah proaktif dengan mengumpulkan pemimpin serantau untuk membincangkan isu tersebut manakala beberapa negara termasuk Malaysia dan Vietnam turut mengadakan pertemuan terus dengan pihak pentadbiran AS.

“Saya percaya hasil daripada pertemuan itu, AS mungkin telah menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari. Mereka sedang menilai semula situasi,” tambahnya.

Mengulas mengenai krisis politik di Myanmar dan rancangan junta untuk mengadakan pilihan raya hujung tahun ini, Johari berkata, ASEAN kekal dengan pendekatan diplomasi terbuka dan tidak campur tangan asing selari dengan prinsip ‘cara ASEAN’.

“ASEAN memilih untuk bertemu dengan semua pihak dan memahami apa yang mereka mahukan. Setiap kumpulan ada keinginan, kehendak dan keperluan tersendiri,” ujarnya.

Beliau menambah proses rundingan sedang berjalan secara menyeluruh dan telah menunjukkan respons positif daripada beberapa kumpulan bertelagah.

“Syukur, kita nampak ada sinar di hujung terowong. Mungkin bukan tahun ini tapi tahun hadapan. Namun perkembangannya sangat positif,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast