Gambar hiasan

SEOUL – Seorang budak lelaki yang hilang tanpa jejak sejak Mei 1989 berjaya disatukan semula dengan keluarganya selepas 35 tahun, hasil usaha pihak polis tempatan.

Agensi Polis Metropolitan Seoul pada Ahad memaklumkan, mereka telah menemui lelaki tersebut yang kini berusia 45 tahun dan dikenali dengan nama keluarga Choi.

Susulan itu, pihak polis segera mengatur pertemuan semula dengan keluarganya bulan lalu.

Choi, yang ketika kejadian berusia 10 tahun, tinggal bersama ibu saudaranya di Gangdong-gu, Seoul, selepas kematian bapanya pada tahun 1988 dan ibunya pula mengalami masalah kesihatan.

Selepas kehilangannya, ibu saudaranya telah membuat laporan orang hilang pada Mei 1989.

Pada tahun 2022, ibu saudara Choi kembali berhubung dengan ibu kandung Choi dan membuat satu lagi laporan orang hilang untuk anak saudaranya pada Julai tahun tersebut sekali gus mendorong operasi pencarian dijalankan sekali lagi.

Penyiasat menyemak semula rekod polis dan kerajaan, bermula dengan data pendaftaran sekolah rendah Choi.

Mereka turut memperluas pencarian kepada rekod Perkhidmatan Insurans Kesihatan Nasional, syarikat telekomunikasi, dan penerima subsidi kerajaan yang sepadan dengan profil Choi.

Penemuan penting berlaku apabila pihak polis memadankan DNA ibu Choi dengan sampel daripada 309 individu yang tidak mempunyai hubungan keluarga termasuk golongan gelandangan dan penghuni pusat perlindungan kerajaan.

Langkah ini mengecilkan senarai kepada 39 individu berpotensi. Polis kemudian memberi tumpuan kepada seorang individu yang pernah berada dalam jagaan perlindungan di sebuah pusat juvana di Busan.

Walaupun nama dan tarikh lahir yang didaftarkan tidak sepadan dengan Choi, gambar zaman kanak-kanak itu dikenali oleh ibu saudaranya.

Pihak berkuasa kemudiannya mendapati bahawa pada tahun 1995, lelaki itu telah mencipta nama keluarga dan tarikh lahir baharu secara rawak untuk mendaftar semula dalam sistem kerajaan.

Analisis DNA oleh Perkhidmatan Forensik Kebangsaan mengesahkan identitinya sebagai Choi. Polis akhirnya menutup kes yang telah berlarutan selama beberapa dekad selepas menyatukan semula beliau dengan keluarganya bulan lalu. – AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast