KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar seekor lembu dalam kejadian di Kilometer 3, Jalan Lok Heng-Mawai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian yang berlaku pukul 7.35 petang melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC SE (FI) ditunggang mangsa.
“Siasatan mendapati semasa kejadian mangsa iaitu seorang lelaki tempatan yang berusia 47 tahun dalam perjalanan dari arah Mawai menghala ke Aping Barat.
“Setibanya di lokasi kemalangan motosikal mangsa telah melanggar seekor lembu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan dan terjatuh atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal terbabit mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk siasatan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.
“Penduduk Kota Tinggi dinasihatkan supaya tidak melepaskan binatang peliharaan tanpa pengawasan dan pengguna jalan raya di minta sentiasa berwaspada,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















