KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli merupakan seorang tokoh pemikir reformis yang berani menyuarakan kebenaran dan langsung gentar dalam mencabar kuasa.
Timbalan Presiden PKR,Nurul Izzah Anwar berkata, idea dan dasar yang diperkenalkan Rafizi bukan sekadar warisan politik tetapi akan terus diperhalusi dan dilaksanakan kerana ia merupakan penyelesaian terbaik untuk negara.
“Saudara Rafizi tidak pernah gentar berhadapan dengan kuasa, dan tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran. Beliau telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana kita khususnya dalam aspek tadbir urus, ketelusan, dan keadilan ekonomi. “Saya menghormatinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nurul Izzah juga turut memuat naik gambar kenangan beliau bersama Rafizi yang diambil beberapa tahun lepas.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Rafizi mengumumkan peletakan jawatan Menteri Ekonomi yang berkuat kuasa 17 Jun ini.
Bermula dari hari ini menteri itu akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun depan.
Menurut Nurul Izzah, negara memerlukan idea dan langkah yang berani dan beliau percaya Rafizi mampu memberi banyak sumbangan kepada negara, sama ada beliau berada dalam kerajaan atau tidak.
Sementara itu, Nurul Izzah berkata, beliau akan memberi tumpuan untuk memperkukuhkan struktur dan etika kepimpinan parti.
“Sebagai langkah awal, PKR akan memperkenalkan latihan integriti wajib kepada semua pemimpin parti dari peringkat pusat, negeri, hingga ke cabang.
“Latihan ini akan meliputi topik penting seperti pengubahan wang haram (AMLA), rasuah, dan pematuhan cukai, sebagai usaha mencegah politik wang dan memastikan pemimpin faham tanggungjawab serta menjaga integriti masing-masing.
“Tadbir urus yang baik seharusnya dibina atas asas prinsip dan ilmu yang kukuh, kita harus menjadi contoh kepada perubahan yang ingin kita lihat dalam diri orang lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















