Nik Nazmi Nik Ahmad dan Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan peletakan jawatan oleh anggota Jemaah Menteri perlu dinilai secara rasional dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukannya sekadar dilihat sebagai pergolakan dalaman politik, tegas Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

Menurut beliau, tindakan melepaskan jawatan adalah hak individu yang sah dan wajar dihormati selagi ia dilakukan atas justifikasi yang jelas serta bersifat membina.

Beliau merujuk kepada situasi semasa melibatkan dua tokoh utama kerajaan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, semalam.

“Dalam politik, perkara sebegini adalah perkara biasa. Apa yang penting ialah tindakan itu berkepentingan kepada masyarakat, dan sekiranya peletakan jawatan itu mempunyai rasional serta diberikan justifikasi, maka ia perlu dihormati,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas kemungkinan berlaku rombakan Kabinet berikutan kekosongan tersebut, Dr Noor Nirwandy berkata keputusan berkenaan adalah prerogatif Perdana Menteri untuk menilai keperluan semasa pentadbiran serta mengekalkan kestabilan politik negara.

“Rombakan Kabinet itu terpulang kepada kepimpinan Perdana Menteri untuk memastikan politik Malaysia kekal dalam keadaan stabil dan kepentingan rakyat itu terpelihara.

“Kepercayaan harus diberikan kepada pimpinan masyarakat pimpinan kerajaan pada ini dan di kalangan parti-parti dalam kerajaan perpaduan untuk mencari dan membentuk apakah yang perlu dilakukan selepas ini kali,” jelasnya.

Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin

Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut menegaskan, dua kementerian berkenaan memainkan peranan strategik dalam agenda pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Dua kementerian ini penting bagi memacu kepentingan pembangunan Malaysia Madani dan kepentingan masyarakat secara mikro serta makro,” ujarnya.

Tambah Dr Noor Nirwandy, sebarang langkah termasuk rombakan Kabinet perlu disusuli dengan elemen pembaharuan serta pendekatan inovatif bagi memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Diharapkan berlakunya inovasi-inovasi serta bentuk-bentuk baharu yang boleh memastikan kepentingan masyarakat dijaga dengan apa juga tindakan, termasuk rombakan Kabinet,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa peletakan jawatan perlu dilihat sebagai satu peluang untuk menyusun semula struktur pentadbiran secara lebih berkesan. Namun, pengisian semula jawatan harus ditentukan oleh kepimpinan negara dengan pertimbangan matang.

“Asasnya adalah untuk memastikan Malaysia kekal dalam keadaan kestabilan politik dan masyarakat mendapat manfaat terus daripada apa-apa perkara yang berlaku dalam politik negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast