Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan Bil 1/2025 di Hotel Le Meridien, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 MEI 2025

PUTRAJAYA – Bermula 1 Julai 2025, infrastruktur pelabuhan akan digunakan sebagai kaedah tambahan untuk tindakan penguatkuasaan lebihan muatan oleh kenderaan berat, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Jelasnya, penguatkuasaan akan dilaksanakan di semua pelabuhan persekutuan Semenanjung Malaysia.

Ia susulan daripada ujian rintis Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sebelum ini berhubung sekatan terhadap pengangkut barangan (haulier) daripada membawa keluar dari pelabuhan atau menghantar muatan yang melebihi berat gabungan kenderaan (BGK) ke pelabuhan.

“Perincian mengenai dasar terhadap kesalahan lebihan muatan ini akan dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan masing-masing kepada pemain industri,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bil. 1/2025, hari ini.

Selain itu, Anthony turut mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM15 kepada pengangkut barangan yang memasuki Pelabuhan Klang di waktu luar puncak bagi pergerakan dua hala.

Manakala insentif RM7.50  untuk pengangkut barangan bagu pergerakan satu hala (single movement).

Menurutnya, pelaksanaan pemberian insentif luar waktu puncak itu akan dimulakan awal tahun depan, bagi menangani masalah kesesakan trafik.

“Kos insentif ini akan ditanggung melalui Caj Lebihan Terminal sebanyak RM10 yang akan dikenakan kepada haulier yang memasuki pelabuhan pada waktu puncak (8 pagi-8 malam).

“Pengenaan TAC dan pemberian insentif dikecualikan pada hari Ahad dan cuti umum,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Anthony memaklumkan mesyuarat pada hari ini meluluskan kebenaran lanjutan tempoh simpanan percuma kepada pengangkut barangan yang memindahkan sekurang-kurangnya 50 peratus pergerakan pengantar barangan dari waktu puncak ke luar waktu puncak sebelum atau pada 1 Julai 2025 di pelabuhan.

“Kegagalan untuk mencapai sasaran ini boleh menyebabkan insentif tersebut ditarik balik.

“Sekiranya pengimport/pengeksport gagal mengambil atau menghantar kontena dari atau ke pelabuhan mengikut nisbah 50:50 antara waktu puncak dan waktu luar puncak, tempoh simpanan percuma tambahan yang diberi akan dikurangkan,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast