pasukan aerobatik elit Russia, Russian Knights, di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2025) mencuri tumpuan ramai. foto FB Astronomi & Sains

PULAU Langkawi kembali menjadi perhatian dunia sempena Pameran Aeorangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berlangsung dari 20 hingga 26 Mei 2025 lalu. Di darat, laut dan udara dipersembahkan pelbagai aset ketenteraan yang memukau pengunjung yang berada di sana. Penulis tidak punyai kesempatan untuk berkunjung ke LMA’25 kali ini, namun melihat rakan-rakan yang berpeluang ke sana sebagai pengunjung dan petugas mengemaskini hantaran di media sosial masing-masing berkaitan LIMA, dari situ sudah dapat merasa bahang kemeriahan, kemegahan dan rasa bangga kerana acara sehebat ini berlangsung di tanah air kita.

Memasuki edisi ke-17 dianjurkan dengan mengangkat tema ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’, LIMA sememangnya layak dinobatkan ‘produk’ jenama tempatan yang membanggakan dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Melabuhkan tirainya secara rasmi pada Sabtu lalu dengan dengan penuh gilang-gemilang, penganjurannya selama lima hari telah berjaya mencatat kehadiran seramai 450,000 pengunjung.

Penganjuran LIMA’25 pada kali juga berjaya meletakkan penanda aras baru kepada kehebatan penganjurannya berbanding edisi-edisi sebelumnya. LIMA 2025 membawa pelbagai impak positif yang signifikan kepada negara dari segi ekonomi, pertahanan, pelancongan, serta pembangunan teknologi dan sumber manusia.

Menurut Menteri Pertahahan, Datul Seri Khaled Nordin penganjuran kali ini menerima sambutan luar biasa selepas menerima penyertaan seramai 860 pempamer dari 24 buah negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 426 pempamer adalah dari luar negara, manakala 434 membabitkan Syarikat tempatan.

Semasa pengajuran LIMA’23, ia berjaya menarik penyertaan pempamer luar sebanyak 299 manakala syarikat tempatan sebanyak 249. Edisi kali juga berjaya ‘mengumpulkan’ sebanyak 43 pesawat udara dan 31 kapal dari pelbagai negara selain menyaksikan sejumlah kontrak, MoU dan LOI bernilai RM11 bilion berjaya dimeterai yang membuktikan keyakinan pelabur terhadap sektor pertahanan negara.

Melihat kepada peningkatan penyertaan di LIMA’25 ia memberi signal kepada kita bahawa LIMA yang dianjurkan oleh Malaysia sejak kali pertama pada 1991 menjadi pentas pameran aeroangkasa dan maritim terkemuka dan berimpak besar di rantau Asia Pasifik yang sentiasa dinantikan oleh pempamer luar dan dalam negara untuk menyertainya. Pertambahan syarikat tempatan yang menyertai pameran pada tahun ini juga memberi petanda baik bahawa usaha dan inisiatif berterusan dalam membangunkan industri pertahanan negara oleh Kerajaan selama ini telah membuahkan hasil yang positif.

Ini kerana pameran seperti ini telah memberi peluang kepada Malaysia untuk melihat dan menilai teknologi terkini dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa. Ia juga menjadi medan untuk mempamerkan inovasi tempatan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, dan syarikat tempatan. Kolaborasi teknologi yang terhasil daripada LIMA boleh meningkatkan keupayaan pertahanan negara dan daya saing industri tempatan di peringkat global.

Melalui penyediaan 15 pavilion berkumpulan mewakili pelbagai sektor maritim dan aeroangkasa dalam bidang komersial serta pertahanan, ia berjaya mewujudkan ruang yang terbaik bagi syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa untuk menjalin kerjasama strategik. Kehadiran syarikat besar dari sektor pertahanan, aeroangkasa, dan maritim membuka peluang kepada industri tempatan untuk memeterai perjanjian perniagaan, memacu pelaburan asing, dan memperkukuh rantaian bekalan tempatan.

LIMA itu tidak semata-mata hanya perihal aset ketenteraan dan pertahanan sahaja, dari perspektif yang lain, ia juga menjadi medan pendidikan melalui seminar, forum, dan bengkel yang dianjurkan. Pelajar, jurutera muda, dan profesional tempatan berpeluang belajar terus daripada pakar-pakar industri bertaraf dunia. Ini membantu dalam pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi, selari dengan aspirasi negara untuk menjadi hab teknologi dan pertahanan serantau.

Malahan Langkawi, sebagai lokasi utama LIMA, turut mendapat manfaat besar dari segi peningkatan ketibaan pelancong. Bagi penulis, ia ibarat rezeki terpijak kerana acara ini menarik ribuan pelawat domestik dan antarabangsa, termasuk delegasi rasmi, usahawan, dan pelancong. Hotel, restoran, pengangkutan, dan perniagaan kecil di sekitar Langkawi akan menikmati lonjakan ekonomi yang ketara sepanjang acara berlangsung. Bagi agensi pelancongan tempatan misalnya, melalui pameran beprestij seperti ini, mereka berpeluang menjual pelbagi pakej pelancongan dalam negara kepada pengunjung dalam dan luar serta membuka peluang untuk mencari rakan strategik dari luar negara.

Sebagai sebuah acara yang unik dan berbeza dengan penganjuran lain kerana masih menjadi satu-satunya pameran yang menggabungkan industri aeroangkasa dan maritim duduk sebumbung, penganjuran LIMA sewajarnya perlu diteruskan. Bukan sahaja memberi peluang kepada merancakkan dan memperkukuh hab sektor aeroangkasa dan maritim, penganjuran pameran berskala besar seperti ini memberi banyak kesan limpahan manfaat kepada pelbagai pihak.

Sememangnya, LIMA tidak sekadar hanya sebuah pameran yang mempamerkan jet pejuang, kapal perang, senjata dan pelbagai lagi aset ketenteraan lain, tetapi produk kebanggaan rakyat Malaysia kerana telah membawa nama negara lebih dikenali, dihormati dan disegani negara dunia. TAMAT

Mohd Zaini Othman

Penulis adalah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS). Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast