Khizairi Khizan
Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR – Ketidakhadiran sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) Perlis ke istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar negeri itu pagi ini mengundang kecaman daripada PKR negeri itu.

Pengarah Komunikasi PKR negeri, Khizairi Khizan yang kecewa dan malu dengan perbuatan ADUN BN itu menyifatkan mereka sebagai biadab.

Katanya, ADUN berkenaan juga telah menghina Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang berkenan menerima menghadap istiadat angkat sumpah Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis.

“Mereka adalah wakil rakyat yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, tetapi mereka gagal memahami prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Pada istiadat itu pagi ini, Azlan sah menjadi Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua selepas mengangkat sumpah jawatan itu di Balai Menghadap, Istana Arau di Perlis hari ini.

Azlan yang juga ADUN Bintong dilantik sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua selepas BN berjaya mempertahankan negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

Menurut Khizairi, perbuatan ADUN BN itu bukan sahaja memalukan, bahkan telah membuka mata rakyat dengan mendapat jawapan sebenar bagaimana parti itu kalah di banyak negeri dan turut kehilangan pusat pentadbiran Putrajaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast