KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan sebarang isu melibatkan perletakan jawatan atau penggantian Menteri Kabinet merupakan hak prerogatif Perdana Menteri dan tidak wajar dijadikan perdebatan umum.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, proses berkaitan jawatan menteri hanya boleh dimuktamadkan oleh Perdana Menteri setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.
“Jika wujud kekosongan sekalipun dalam Kabinet, keputusan untuk melantik pengganti atau melakukan rombakan adalah hak mutlak Perdana Menteri yang perlu dihormati semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak tidak membincangkan isu berkenaan secara terbuka, khususnya dalam ruang awam yang boleh menimbulkan spekulasi tidak berasas.
Muhammad Faiz turut mengingatkan ahli dan penyokong parti supaya hanya merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh presiden parti atau atas nama setiausaha agung sahaja bagi mengelakkan kekeliruan.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada khabar angin berkaitan kemungkinan pertukaran beberapa jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim. -MalaysiaGazette
















