Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika hadir pada Konvensyen Barisan Nasional Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SAAC). Foto SADIQ SANI, 01 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR –  “Dalam badai perubahan zaman, ketika dunia berubah arah dan angin politik bertukar haluan, Barisan Nasional tetap berdiri teguh dan tidak goyah”, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah beliau, sepanjang 51 tahun penubuhannya, BN tekad memperkukuh komitmen terhadap prinsip demokrasi yang menjadi teras perjuangan gabungan politik tertua di Malaysia meskipun berdepan dengan perubahan landskap politik yang mencabar.

“Lebih separuh abad lamanya, Barisan Nasional menjadi gagasan jiwa yang merangkul kepelbagaian, merentas garis perbezaan, dan menyatukan rakyat di bawah panji cita-cita besar demi Malaysia yang damai, makmur dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli, jentera, pimpinan dan penyokong setia BN yang kekal bersama gabungan itu dalam suka dan duka, termasuk ketika menghadapi kekalahan dan cabaran besar.

Menurutnya, kekuatan sebenar BN terletak pada semangat dan kesetiaan akar umbi yang menjadi nyawa kepada perjuangan demokrasi parti itu sejak dahulu hingga kini.

Beliau turut menyeru agar ulang tahun ke-51 ini dijadikan saat muhasabah dan penyegar semangat bagi terus mara dan menyulam sejarah baharu yang lebih bermakna dalam landskap politik negara.

“Semoga perjuangan ini terus diberkati dan dipandu oleh petunjuk Ilahi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast