Annuar Musa

KUALA LUMPUR — Tindakan drastik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO dan mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencetuskan kejutan besar dalam arena politik tanah air.

Langkah ini bukan sahaja mengejutkan kerana Tengku Zafrul merupakan menteri penuh dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, tetapi juga kerana beliau memegang jawatan penting sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian.

Ia menjadi kali pertama seorang pemimpin berprofil tinggi dari UMNO yang masih berjawatan dalam kerajaan mengambil keputusan menyertai parti rakan dalam pentadbiran.

Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan itu sebagai petanda munculnya gelombang baharu dalam politik negara.

Menurut beliau, langkah Tengku Zafrul menunjukkan bahawa suasana dalaman UMNO sedang mengalami tekanan yang tidak dapat disembunyikan lagi.

“Belum pernah seorang yang sedang memegang jawatan Menteri dari UMNO, ahli MKT UMNO, dan Ketua UMNO Bahagian membuat keputusan sukarela keluar meninggalkan parti dan memohon menyertai parti lain,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat itu turut menambah bahawa keputusan Tengku Zafrul bukan keputusan kecil, malah ia membuka ruang untuk ahli-ahli UMNO lain menilai kembali kesetiaan mereka terhadap parti.

“Apa agaknya yang tidak kena dengan UMNO sehingga begitu tidak berharga sekali sekarang ini?” soal beliau sinis, menggambarkan kekecewaan terhadap keadaan semasa parti yang pernah menjadi tulang belakang kerajaan Malaysia.

Tengku Zafrul dalam kenyataannya semalam menjelaskan bahawa keputusannya untuk keluar dari UMNO dibuat atas kehendaknya sendiri, tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai hasil pertimbangan mendalam terhadap landskap politik semasa.

Tengku Zafrul turut menekankan bahawa penyertaannya ke dalam PKR merupakan satu langkah untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara dalam kerangka yang lebih sesuai dengan aspirasi semasanya.

Untuk rekod, Tengku Zafrul mula dilantik sebagai senator pada tahun 2020 sebelum menyertai Kabinet sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kemudian menyertai UMNO secara rasmi dan menyandang jawatan penting dalam parti sehingga pengundurannya semalam.

Pemerhati politik menjangkakan langkah ini bakal mencetuskan gelombang baharu dalam kalangan ahli UMNO yang berasa tidak lagi yakin dengan kepimpinan sedia ada, sekali gus memungkinkan perpindahan beramai-ramai ke parti-parti lain dalam kerajaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Kesetiaan kalian adalah kekuatan BN – Zahid

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast