Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet buat masa ini di sebalik keputusan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad melepaskan jawatan Menteri masing-masing.

Menurut Perdana Menteri, meskipun Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkenaan sudah menghantar surat peletakan jawatan, beliau setakat ini hanya meluluskan permohonan cuti mereka.

Katanya, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang, beliau akan meminta menteri kanan lain untuk memangku sementara jawatan kedua-dua kementerian berkenaan.

“Tiada keperluan untuk rombakan Kabinet, kita memberikan masa untuk mereka (Rafizi dan Nik Nazmi) fikir apa yang mahu dilakukan. Saya hanya meluluskan cuti mereka sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.

Anwar ditanya sama ada rombakan Kabinet akan dilakukan dalam masa terdekat susulan keputusan Rafizi dan Nik Nazmi melepaskan jawatan Menteri masing-masing berikutan tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Rafizi gagal mempertahankan jawatanya sebagai Timbalan Presiden PKR apabila tewas kepada Nurul Izzah Anwar manakala Nik Nazmi juga tewas dalam pemilihan jawatan Naib Presiden.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan bagi menggantikan kedua-dua Menteri tersebut memandangkan kerajaan masih berfungsi seperti biasa.

“Pada masa sama, Ketua Setiausaha (kementerian) dan Ketua Pengarah sudah diminta untuk meneruskan tugas masing-masing kerana kita sedang dalam proses rundingan dalam kalangan ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk)-China dan AS (Amerika Syarikat) mengenai tarif dikenakan (Presiden AS) Donald Trump,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast