KUALA LUMPUR – Universiti Cambridge, United Kingdom (UK) akan menghantar delegasi ke Malaysia bagi sesi libat urus bersama para Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) International General Certificate Of Secondary Education (IGCSE) serta guru-guru kaunselor.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sesi itu penting bagi memperincikan keperluan akademik dan struktur laluan kemasukan pelajar MRSM ke Universiti Cambridge.
Menurut beliau, Mara mempunyai ‘talent pool’ yang luas dan kerjasama itu akan membuka peluang kepada pelajar berkenaan melanjutkan pelajaran ke Universiti Cambridge.
Jelasnya, perkara itu merupakan sebahagian daripada resolusi yang dicapai dalam pertemuan beliau dan wakil Mara bersama pengurusan tertinggi dan para profesor kanan terkemuka di Universiti Cambridge, UK hari ini.
“Alhamdulillah, pertemuan yang berlangsung hampir dua jam ini melahirkan beberapa resolusi yang amat positif, selaras dengan keputusan Majlis MARA baru-baru ini yang berhasrat untuk membina laluan akademik khas (feeder pathway) bagi pelajar-pelajar MRSM, terutamanya 12 MRSM IGCSE, untuk menempatkan diri di universiti-universiti terkemuka dunia termasuk di University of Cambridge,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Selain itu, tambah Asyraf Wajdi, pertemuan tersebut juga membuka peluang besar kepada 9,987 warga pendidik Mara di seluruh institusi pendidikan Mara (IPMA) meliputi kolej-kolej kemahiran, universiti-universiti Mara dan MRSM.
Ujarnya, para pendidik itu berpeluang untuk menjalin pertukaran kepakaran (knowledge exchange), menjalankan penyelidikan bersama serta meneroka peluang melanjutkan pengajian di peringkat pasca siswazah (postgraduate) dalam bidang-bidang strategik di Universiti Cambridge.
Tambah beliau, bidang itu seperti tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI), sains sosial, teknologi kuantum, block chain, internet (IOT), inovasi keusahawanan dan pelbagai bidang baharu yang menjadi pemacu masa depan ekonomi dunia.
Selain itu, ujarnya, Cambridge University’s Trust juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Mara untuk berkongsi pembiayaan (co-funding) pelajar-pelajar penyelidikan pasca-ijazah di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
“Insya-Allah jika semua perincian dipersetujui, MARA boleh jimat sehingga RM5 juta dengan penghantaran pelajar ke sini (Universiti Cambridge),” katanya.
Tambah Asyraf Wajdi, inisiatif kerjasama itu adalah sebahagian daripada agenda strategik Mara untuk memastikan anak-anak bangsa tidak hanya bersaing di peringkat nasional, malah mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas akademik dan profesional antarabangsa.
Pada masa sama, menurutnya, ia juga berperanan memperkasa warga pendidik Mara agar terus relevan dan bersedia menghadapi cabaran arus globalisasi.
“Insya-Allah, MARA akan terus berusaha memperkukuh jaringan antarabangsa ini, demi memastikan peluang-peluang terbaik dapat kita buka seluas-luasnya buat anak-anak Bumiputera dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette















