KUALA LUMPUR – Pelakon, Bella Dowanna menegur tindakan selebriti, Saidah Kamarudin yang mendedahkan punca pertunangan antara dirinya dan Muntazar Ghufran, 22, berakhir kepada pihak media.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya, Bella menyatakan rasa kurang senang dengan kenyataan yang dibuat Saidah, khususnya mengenai aspek kewangan Muntazar.
“Dah putus, bukan main lagi. Dah tahu dia macam tu, kenapa tetap nak bertunang juga, sis?” tulisnya secara sinis.
Menurut Bella, Muntazar seolah-olah telah dipergunakan sepanjang hubungan mereka apabila terpaksa bertindak sebagai pembantu peribadi (PA), juruvideo tanpa bayaran dan turut menghantar Saidah ke lokasi penggambaran setiap hari, sehingga menjejaskan kewangannya.
“Dia jadi PA awak, balaci awak, kuli awak, videographer tak berbayar untuk konten-konten awak, pemandu awak hari-hari ke set. Mana tak habis duit dia? Dahlah, diam je, jangan nak bising sangat,” tulisnya lagi.
Terdahulu, konflik antara pasangan selebriti tersebut tercetus apabila Saidah mendakwa akaun TikTok miliknya telah digodam oleh bekas tunangnya.
Bagaimanapun, Muntazar menafikan dakwaan itu dan seterusnya mendedahkan punca sebenar pertunangan mereka terlerai, termasuk menyifatkan Saidah sebagai seorang yang bermulut jahat.
Tidak berdiam diri, Saidah kemudiannya menjelaskan bahawa faktor kewangan menjadi alasan utama beliau membatalkan perkahwinan tersebut, apabila mengetahui Muntazar hanya mempunyai RM500 dalam akaun banknya.
Sementara itu, Bella mengingatkan agar setiap pihak tidak hanya menyampaikan maklumat sebelah pihak sahaja kerana setiap kisah pasti mempunyai dua sisi. – MalaysiaGazette
















