KUALA LUMPUR – Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) merekodkan peningkatan mendadak panggilan kes keracunan akibat pendedahan kepada vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang sejak 2022.
Pegawai Farmasi Perkhidmatan Maklumat Ubat & Racun, PRN USM, Mohd Fadhli Razali berkata, lonjakan ketara bermula tahun 2022 iaitu sebanyak 65 peratus (17 kes) daripada jumlah kes pendedahan vape pada tahun tersebut.
Menurutnya, kes-kes itu meningkat saban tahun dengan 79 peratus (27 kes) pada tahun 2023 dan 68 peratus (26 kes) pada tahun 2024.
Jelasnya, majoriti kes iaitu 81 peratus melibatkan vape yang didakwa sebagai Magic Mushroom Vape dengan kebanyakan kes membabitkan remaja berusia 15-19 tahun (41 peratus) dan awal dewasa 20 tahun (53 peratus), membuktikan trend itu semakin membarah dalam kalangan generasi muda.

“Kebanyakan pesakit tersebut mengalami gejala seperti sawan, pengsan, muntah dan juga gejala psikiatri seperti halusinasi, delusi dan perubahan sikap termasuk bertindak agresif.
“Sebahagian besar kes menunjukkan gejala keracunan serius walaupun dengan satu dua sedutan sahaja, pesakit mengalami sawan dan tingkah laku tidak normal yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang sekeliling,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, susulan dapatan itu, PRN telah menjalankan analisis terhadap beberapa sampel cecair vape yang didakwa mengandungi Magic Mushroom dan mendapati kandungan sebenarnya adalah dadah sintetik yang boleh menyebabkan keracunan teruk sehingga membawa maut.
Jelasnya, ia membuktikan vape sangat mudah dimanipulasi dan tanpa kawalan ketat, sekali gus membuka ruang kepada penyalahgunaan dadah berbahaya dalam masyarakat.
Tambah beliau, golongan remaja menjadi sasaran utama penjualan produk itu kerana akses mudah melalui platform dalam talian yang sukar dikawal.
Jelasnya, peningkatan kes keracunan vape itu membuktikan keperluan untuk penguatkuasaan segera oleh pihak kerajaan melalui Akta 852 serta sokongan kuat di peringkat negeri.
“Usaha beberapa negeri yang telah dan bakal mengharamkan penjualan dan penggunaan vape wajar disokong sepenuhnya demi melindungi generasi muda daripada ancaman dadah baharu yang sukar dikesan dan semakin berleluasa.
“PRN menggesa agar semua kerajaan negeri dapat bersatu dan bersepakat melaksanakan pengharaman penjualan produk vape dengan kadar segera,” katanya.
Tambah Mohd Fadhli, fenomena penyalahgunaan bahan terlarang melalui aktiviti menghisap vape bukan lagi isu terpencil, sebaliknya menjadi satu krisis kesihatan awam yang memerlukan tindakan segera dan bersepadu.
“Statistik PRN membuktikan peningkatan kes yang membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan dewasa muda.
“Pengharaman vape di peringkat negeri adalah langkah kritikal bagi membendung penularan dadah baharu ini dan melindungi masa depan rakyat Malaysia daripada bahaya yang tidak kelihatan tetapi sangat merosakkan,” katanya.
Tambah beliau, dapatan daripada kajian itu juga membuktikan keperluan mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera mengekang lebih ramai lagi anak bangsa daripada menjadi mangsa penagihan bahan terlarang khususnya dadah jenis baharu seperti kanabinoid sintetik yang dikesan dalam cecair vape. – MalaysiaGazette
















