PUTRAJAYA – Kerajaan akan menguatkuasakan sepenuhnya Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan Malaysia-Singapura pada 1 Julai 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, notis saman bernilai RM300 akan dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan asing yang belum mendaftar dan mengaktifkan VEP.
“Bagi kenderaan persendirian individu sekiranya tidak memiliki atau tidak mendaftar VEP akan disaman dan mereka wajib membayarnya sebelum keluar Malaysia.
“Mengapa kita laksanakan 1 Julai ini? Ini kerana masa yang telah diberikan agak panjang prapendaftaran seperti yang kita katakan, kita bermula dengan soft approach advokasi pada 1 Oktober 2024.
“Manakala kenderaan persendirian syarikat pula yang masih belum mendaftar VEP akan diberi notis peringatan dan dibenarkan keluar dari negara ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kenderaan yang gagal membayar saman akan disekat keluar boleh membuat pembayaran saman melalui kaedah tanpa tunai di Kaunter Pejabat JPJ, Kaunter Bergerak JPJ Mobile atau secara atas talian.
Anthony memaklumkan, operasi penguatkuasaan VEP itu akan dilaksanakan di luar kawasan pintu masuk sempadan bagi mengelakkan kesesakan dan kelancaran trafik di kawasan sempadan.
“JPJ menyeru semua pemilik kenderaan asing segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa memasuki dan keluar dari Malaysia.
“Penguatkuasaan VEP selaras di bawah Seksen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu menjadi kesalahan individu yang memandu kenderaan asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di Malaysia,” jelasnya.
Ujarya, sebanyak 52,012 kenderaan Singapura telah diperiksa secara rawak dan 2,245 (4.32 peratus) notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan belum mendaftar VEP sejak penguatkuasaan fasa pertama mulai 1 Oktober 2024.
Katanya sehingga Isnin lalu, statistik merekodkan sebanyak 231,018 tag RFID dikeluarkan untuk kenderaan persendirian individu dan 2,660 untuk kenderaan persendirian syarikat.
Penguatkuasaan VEP di Pintu Sempadan Darat Malaysia-Singapura dilaksanakan bermula 1 Oktober 2024 yang dijalankan secara berfasa dengan kaedah advokasi iaitu mengeluarkan notis peringatan kenderaan Singapura yang belum membuat pendaftaran VEP.
Ia dikuatkuasakan untuk pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura. – MalaysiaGazette
















