KUALA LUMPUR – Sebuah bas ekspres yang membawa 12 penumpang terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan di Kilometer 35.8 Lebuhraya Shah Alam (KESAS), malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9.30 malam ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Pasir Gudang, Johor.
Difahamkan bahawa bas ekspres tersebut telah berlepas dari Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam pada pukul 9.15 malam, kira-kira 15 minit sebelum kejadian berlaku.
“Siasatan awal mendapati sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti telah memotong secara berbahaya dari lorong kanan ke lorong kiri.
“Tindakan itu menyebabkan pemandu bas hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Wan Azlan memaklumkan, kejadian tersebut mengakibatkan seorang penumpang mengalami kecederaan ringan.
Jelasnya, usaha sedang dijalankan bagi mengesan kenderaan terlibat dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette
















