Kediaman wanita maut dipercayai dikelar suaminya petang Isnin lalu sunyi selain tidak mempunyai jiran kerana masih terdapat unit rumah yang belum berpenghuni di Taman Cahaya, Sungai Mati, Bukit Gambir, Tangkak.

TANGKAK – Masalah keluarga dipercayai menjadi punca pembunuhan wanita, Iecah Junus, 34, yang dikelar suaminya menggunakan pisau pemotong sayur, petang Isnin lalu.

Difahamkan, suspek berusia 33 tahun berang sehingga membawa kepada pergaduhan dan pembunuhan kerani kilang pengumpulan kelapa sawit itu di rumah mereka di Taman Cahaya, Sungai Mati, Bukit Gambir di sini kira-kira pukul 4.15 petang.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi tidak menolak kejadian mungkin menjurus kepada masalah keluarga.

“Setakat ini, polis masih belum merekodkan keterangan saksi kejadian termasuk jiran dan maklumat lanjut akan dikongsi sebaik keputusan bedah siasat diperolehi.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan ketika kejadian, suspek dalam keadaan kebingungan.

“Turut ditemukan berhampiran mayat isterinya ialah pisau yang masih berdarah dipercayai digunakan untuk mengelar leher isterinya di ruang tamu rumahnya,” katanya.

Jelas beliau, siasatan turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan pada 2017 dan sudah dijatuhi hukuman denda RM1,800. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast