How Han Wei dibawa ke Mahkamah Sesyen Kluang hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah, awal bulan ini.

KLUANG – Seorang peniaga kenderaan terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah, awal bulan ini.

Tertuduh, How Han Wei, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson tanpa kebenaran sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang pada 6 Ogos lalu, di sebuah rumah di Taman Kluang Indah, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam, Yvonne Kee.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 28 September ini bagi serahan dokumen.

Pada 17 Ogos lalu, Han Wei antara empat lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan sebelum mayat mangsa ditemukan terapung dalam jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja.

Tiga lagi tertuduh ialah Yogesvaran Subramaniam, 40; Lim Yong Ming, 26, dan Achuthan Nagarajan, 32.

Kesemua mereka bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan kerana pertuduhan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dalam kejadian sebelum ini, mayat mangsa berusia 39 tahun ditemukan terapung oleh penduduk kira-kira pukul 11.30 pagi pada 3 Ogos lalu.

Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dijerut pada bahagian leher menggunakan tali sebelum kedua-dua tangannya diikat menggunakan pita pelekat.

Jasad mangsa kemudian dipercayai dibalut menggunakan jaring sebelum dibawa ke lokasi berkenaan dan dicampakkan ke dalam sungai.

Lebih mengerikan, lima ketul batu turut ditemukan pada mayat mangsa yang dipercayai digunakan untuk menenggelamkan jasad berkenaan bagi mengelakkan ia timbul ke permukaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here