MELAKA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang dilaporkan hilang ketika mencari lembu di dalam hutan di Kampung Permatang Pasir, di sini malam tadi masih belum menemui sebarang petunjuk.
Setakat jam 10 pagi tadi, usaha mencari Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, anak kedua daripada enam beradik itu melibatkan orang kampung, selain bomba dan unit anjing pengesan (K9) polis.

Pencarian turut melibatkan di dua kawasan kolam terbiar di situ berusia 80 tahun yang dikatakan ‘keras’ namun tiada sebarang petunjuk keberadaan mangsa.
Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati pihak berkuasa dan orang ramai memenuhi kawasan berkenaan untuk membantu usaha mencari dah menyelamat.

Difahamkan, remaja terbabit keluar mencari haiwan ternakan itu kira-kira pukul 7 petang semalam di kawasan hutan berkenaan yang turut terdapat dua buah kolam terbiar.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan operasi mencari mangsa diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Akhbar Abdol Karim sejak pukul 7 pagi ini.

Bomba menerima panggilan kecemasan kes pada pukul 11.54 malam tadi sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang (BBP) Temu dikejarkan ke lokasi dan tiba enam minit kemudian.
Operasi pencarian dilakukan di sekitar kawasan kandang lembu yang turut dibantu anggota polis dan orang awam sehingga pukul 1.35 pagi tadi. – MalaysiaGazette















