Kolam berusia lebih 80 tahun yang terdapat di dalam hutan.

MELAKA – “Selepas sepupu saya laungkan Azan, barulah lembu betina yang hilang dijumpai dalam kolam terbiar, tapi anak masih hilang,”.

Itu nada sedih diluahkan Siti Norehan Azhar, 38, mengenai kehilangan anak lelakinya, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15 yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran di kawasan hutan sejak lewat petang semalam ketika mencari lembu di dalam hutan di Kampung Permatang Pasir, di sini.

Menurut ibu kepada enam anak itu, kali terakhir dia bertemu remaja itu adalah kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

“Waktu itu, dia minta saya RM3 untuk beli air sebelum terus ke hutan seperti biasa untuk menjaga 13 ekor lembu sehingga pukul 7 atau 7.30 malam.

“Tapi semalam saya pelik kerana sampai pukul 8 malam pun dia tak balik-balik sebelum sepupu saya keluar mencarinya.

“Kira-kira dalam pukul 10 lebih, sebaik sepupu selesai melaungkan azan, lembu betina dijumpai di dalam salah satu daripada dua kolam di kawasan hutan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi hari ini.

Menurutnya, dia kemudian membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.

“Cara anak saya berkawan bukan seperti kanak-kanak lain dan mustahil dia hilang kerana pergi melepak di rumah kawan ke tempat lain.

“Selama tiga tahun menjaga lembu sepupu, tak pernah dia hilang malah sudah biasa dengan keadaan hutan di sini,” katanya menahan sebak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast