MELAKA – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai terlibat dalam kejadian ‘pickpocket’ dan meminta RM200 sebagai ‘duit kopi’ selepas membantu mendapatkan semula telefon bimbit mangsa, ditahan polis hari ini.
Lebih mengejutkan, suspek mempunyai 13 rekod kesalahan lampau, masing-masing satu kes jenayah dan 12 kes berkaitan dadah selepas kejadian itu tular, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, suspek ditahan selepas polis menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20-an, kira-kira jam 2.06 pagi tadi.
Menurutnya, polis terlebih dahulu berjaya mengesan mangsa melalui media sosial Threads selepas hantaran berkaitan kejadian yang berlaku di Kampung Morten, di sini, tular.
“Berdasarkan rakaman video yang tular, seorang lelaki dipercayai telah mengambil telefon bimbit milik seorang wanita secara ‘pickpocket’ sebelum berpura-pura membantu mencari telefon berkenaan.
“Setelah telefon tersebut ditemui, lelaki berkenaan dipercayai meminta wang sebanyak RM200 sebagai ‘duit kopi’ sebelum meninggalkan lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Halim berkata, semakan lanjut mendapati suspek pernah beberapa kali ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah dan didapati positif ujian air kencing.
“Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 September bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
“Polis turut mendapatkan kerjasama penduduk setempat di Kampung Morten bagi membantu siasatan termasuk mengenal pasti saksi serta mendapatkan dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian,” katanya.
Halim berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan sebarang tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan hasil siasatan serta bukti yang diperoleh.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
“Sebaliknya, orang ramai diminta memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette
















