TEMERLOH – Seramai 54 pelajar Orang Asli di negeri itu yang berjaya mencatat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diraikan dalam majlis apresiasi kecemerlangan hari ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata pemberian inisiatif RM100 bagi setiap gred A diperolehi merupakan suntikan semangat kepada golongan itu.
”Pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 5A ke atas diraikan, dan mereka menerima sumbangan mengikut pencapaian keputusan masing-masing.
”Manakala pelajar yang sudah masuk universiti atau pusat pengajian tinggi, bantuan komputer riba diberikan,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Pada majlis itu, penyampaian Inisiatif Makmur diberikan kepada 16 penerima komputer riba kepada pelajar Orang Asli terpilih oleh kerajaan negeri melalui Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) dalam merapatkan jurang digital pendidikan.
Selain ity masjlis meraikan kepimpinan komuniti itu dari kalangan 29 orang Tok Batin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), sebagai tanda sokongan terhadap peranan kepimpinan akar umbi masyarakat Orang Asli di Pahang.
Semua inisiatif tersebut katanya membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pahang sangat komited dalam pembangunan pendidikan, kebajikan dan kepimpinan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Beliau berharap semua pelajar yang diraikan hari ini terus maju dalam pelajaran dan kehidupan agar setara dengan bangsa dan kaum lain di negara ini. – MalaysiaGazette
















