Tangkap layar menunjukkan suspek berjaya diberkas orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencabul seorang wanita tempatan di parkir sebuah pangsapuri di Pantai Jerejak di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek berusia 24 tahun itu berjaya ditahan orang awam sebelum diserah kepada pihak polis.

“Kita telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa, seorang wanita berusia 38 tahun, kira-kira pukul 12.45 tengah malam pada Selasa lalu.

“Wanita itu mendakwa menjadi mangsa cabul suspek dengan buah dadanya diraba pada pukul  11.15 malam iaitu kira-kira beberapa jam sebelum laporan polis dibuat.

“Susulan itu, suspek ditangkap oleh orang awam sebelum diserah kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Rozak, suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan kes akan dilengkap dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan pertuduhan dalam masa terdekat,”katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi lebih satu minit mengenai kejadian di media sosial memaparkan seorang lelaki warga asing didakwa mencabul wanita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast