Na'im Brundage

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah mengarahkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data rakyat, dengan ancaman tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Tindakan di bawah akta ini memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara selama enam bulan terhadap syarikat yang gagal mematuhi arahan tersebut.

Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharunya, Na’im Brundage berkata, perkara ini membimbangkan kerana data-data ini didakwa dikumpul tanpa sebarang persetujuan daripada pemiliknya.

Apatah lagi rakyat hanya mengetahui perkara ini melalui laporan media antarabangsa tanpa sebarang pemakluman atau konsultasi awam daripada kerajaan atau SKMM terlebih dahulu.

Menurut laporan media, data yang akan dipungut oleh SKMM meliputi rekod panggilan, rekod internet, dan lokasi GPS rakyat.

“Walaupun SKMM telah menjelaskan bahawa data berkenaan tidak mengandungi maklumat peribadi yang boleh mengenal pasti individu, setakat ini masih tiada penjelasan mengenai bagaimana data tersebut akan diproses, protokol perlindungan privasi yang akan digunakan, serta bentuk pengawasan dan audit yang akan dikenakan bagi mengelakkan penyalahgunaan data tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Na’im menggesa agar pungutan data rakyat secara besar-besaran oleh SKMM ini dihentikan secara serta-merta.

Tegasnya, sebarang proses pengumpulan data mestilah dilakukan dengan mendapat persetujuan jelas daripada pemilik data, disertai konsultasi awam yang menyeluruh, serta pemantauan ketat dan audit oleh badan bebas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast