JASIN – Seorang lelaki warga emas cedera selepas ditanduk lembu korban ketika sedang cuba mengikat haiwan itu dalam kejadian di Kampung Bukit Tembakau di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Md. Rabu Ahmad, 60, merupakan peserta program korban anjuran Masjid Al-Faizin di kampung berkenaan.
Menerusi video berdurasi dua minit 37 saat yang tular, mangsa dilihat sedang cuba mendekati lembu kedua sebelum haiwan itu bertindak liar dengan menyerang dan menanduknya.
Anak mangsa, Siti Nur Sakierah Md Rabu, 28, berkata, serangan mengakibatkan ayahnya mengalami patah satu tulang rusuk selain pendarahan paru-paru.
“Doktor beritahu ada pendarahan dalam paru-paru dan terpaksa pasang tiub untuk keluarkan darah. Tak sangka kejadian ini boleh berlaku sekelip mata sedangkan ayah memang selalu terlibat dalam gotong-royong ibadah korban sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, keadaan ayahnya bagaimanapun dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Jasin. – MalaysiaGazette
















