ADUN Teruntum, Sim Chon Siang menunjukan lubang besar yang berlaku akibat mendapan di Jambatan Sungai Galing di Jalan Beserah di Kuantan hari ini

KUANTAN – Kewujudan tiga lubang besar di kedua-dua hala di jalan Jambatan Sungai Galing yang terletak di Jalan Beserah, di sini, mengundang bahaya kepada pengguna keselamatan jalan raya di sini.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, lubang bersaiz 5×4 kaki pada kedalaman sehingga 3 meter itu mampu meragut nyawa pejalan kaki mahupun pengguna kenderaan.

Beliau mendakwa, kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan yang dilakukan tidak mengutamakan keselamatan kepada pengguna jalan raya.

”Dua minggu lepas, telah berlubang, sebelum ini (lubang) dekat atas jalan yang saiz kecil dan tadi kita tengok tempat ni telah terhakis lagi.

”Sekarang JKR tengah baiki, tetapi tanah mendap sebab itu jalan jadi berlubang, kena cepat kerja sebab tengok struktur nampak selamat tapi kita tak tahu lubang-lubang tu.

”Kita minta JKR penuhkan bawah tanah itu sebab terhakis dan mendapan memang ada. Kalau hujan lagi makin teruk, hanya mendapan jalan sahaja,” kata Sim Chon ketika ditemui hari ini.

Jelas Sim, meski pun Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil tindakan namun pihaknya masih berharap kerja penyelengaraan perlu dilakukan dengan lebih cepat.

Tinjauan yang dilakukan bersama pengamal media mendapati pelbagai aspek keselamatan perlu dipertingkatkan ketika melakukan kerja pembaikan jalan di situ.

Sim Chon Siang membuat tinjauan struktur pembinaan di bawah Jambatan Sungai Galing susulan berlaku beberapa lubang besar akibat mendapan di laluan berkenaan dalam tempoh dua minggu

Antaranya penggunakan kon keselamatan jalan dari lorong berhampiran memasuki jalan utama bagi kenderaan susur masuk menggunakan satu jalan sahaja.

Katanya, bendera merah dan hijau yang perlu digunakan sebagai isyarat kepada pengguna di laluan itu.

Selain itu lampu keselamatan kuning yang pecah dan tidak berfungsi diletakkan di atas penghadang plastik dan papan tanda tidak berguna terutamanya pada waktu malam kerana tidak membantu para pemandu.

Malah katanya, lubang yang telah ditutup juga tidak menjamin keselamatan kerana di bawah ruang jalan itu terbukti lompong susulan berlaku mendapan.

”Dia pakai premix yang kecil tak boleh sebab kena penuhkan kawasan kosong tanah ini, baru berfunsi. Ini tiba-tiba tengok ada lubang besar dalam tempoh dua hari.

”Kita nak minta JKR letak lampu dan tingkat aspek keselamatan ketika memperbaiki jalan, lampu kena berfungsi jangan sekadar letak.

”Saya sudah tegur pihak kontraktor yang menjalankan kerja pembaikan jalan di sini dan sangat risau dengan keadaan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast