Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah memberi bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal susulan tragedi kemalangan tragis membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, arahan itu dikeluarkan agar JKR bersama-sama dengan pihak konsesi penyelenggaraan melaksanakan perkara berkenaan sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa.

“Saya mengikuti rapat perkembangan operasi menyelamat yang dijalankan oleh pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam, polis, Kementerian Kesihatan dan semua agensi terlibat.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bertindak pantas dan penuh dedikasi sejak awal pagi tadi.

“Di pihak Kementerian Kerja Raya, saya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya bersama-sama dengan pihak konsesi penyelenggaraan memberikan bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Alexander, pihaknya akan terus memantau perkembangan siasatan kemalangan tersebut dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin.

“Saya juga memohon jasa baik orang ramai untuk memberikan ruang kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat berjalan dengan lancar dan menyeluruh,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast