Mohamed Sukri Omar.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang disifatkan tidak mesra rakyat berhubung larangan penggunaan tong gas LPG bersubsidi oleh pengusaha makanan dan minuman kecil.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar menyifatkan dasar tersebut sebagai satu bentuk penindasan terhadap rakyat marhaen, khususnya golongan peniaga kecil, warung dan penjaja yang sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Sehingga hari ini, kerajaan gagal memberikan penjelasan tuntas. Yang lahir hanyalah kekeliruan demi kekeliruan. Sekejap dilarang, sekejap dibenarkan. Sekejap perlu permit, sekejap disalahkan penguat kuasa.

“Kerajaan seolah-olah tidak tahu apa yang mereka sendiri laksanakan. Ini bukan isu teknikal semata-mata tetapi adalah soal kegagalan dasar dan penganiayaan terhadap rakyat,” katanya dalam  kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, tong gas bersubsidi bukan medan eksperimen ekonomi dan apa yang diperlukan kerajaan ialah keberanian politik untuk mempertahankan kebajikan rakyat, bukan melemparkan kesalahan secara sembarangan.

Beliau menegaskan tiga perkara utama iatu tiada sebarang justifikasi munasabah untuk menyekat penggunaan tong gas bersubsidi oleh peniaga kecil.

“Kerajaan seharusnya membela rakyat, bukan menindas dengan dasar yang tidak berperikemanusiaan.

“Jangan berlindung di sebalik alasan teknikal dan penguatkuasaan sedangkan dasar itu sendiri bercanggah dengan prinsip keadilan sosial,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Mohamed Sukri memberi amaran bahawa Pemuda Pas Selangor tidak akan teragak-agak untuk melancarkan kempen kesedaran bagi mendesak dasar itu ditarik balik sekiranya kerajaan terus berdegil.

“Kami bersama rakyat. Dan kami tidak akan berdiam diri apabila rakyat terus dihimpit dan dizalimi atas nama penstrukturan subsidi yang tidak berjiwa.

“Kembalikan tong gas bersubsidi kepada rakyat. Jangan sakiti peniaga kecil. Jangan zalimi rakyat yang sudah cukup susah,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast