Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas memandu melulu berbahaya dan melulu di Jalan Skudai Pantai Lido, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Berselisih faham dengan isteri dijadikan alasan seorang lelaki memandu secara berbahaya dengan cara melawan arus di Jalan Skudai Pantai Lido, di sini, pada awal pagi Sabtu lalu.

Perbuatan lelaki tempatan yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz warna biru itu dirakam seorang pengguna jalan raya yang sedang memandu sebelum tular dalam media sosial.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima maklumat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkenaan kejadian tersebut pada pukul 9.10 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan berkata, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pukul 1.41 pagi Sabtu lalu.

“Hasil semakan nombor pendaftaran kenderaan tersebut telah membolehkan pihak polis mengesan identiti pemilik dan pemandu kenderaan tersebut.

“Polis kemudian mengarahkan pemandu tersebut hadir ke Balai Polis Trafik IPD Johor Bahru Selatan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemilik kenderaan tersebut kemudian hadir ke Balai Polis Trafik IPD Johor Bahru Selatan pukul 11.30 malam semalam.

Hasil rakaman percakapan katanya, mendapati pemilik kenderaan tersebut merupakan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun telah mengaku memandu kenderaan tersebut secara melawan arus.

“Alasannya kerana ketika itu sedang berselisih faham dengan isterinya hingga menyebabkan dirinya hilang fokus dan memandu kenderaan dengan memasuki laluan yang salah.

“Ujian saringan air kencing mendapati pemandu tersebut bebas daripada sebarang pengalahgunaan dadah atau alkohol,” katanya.

Raub memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara berbahaya dan melulu.

Pihaknya menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk hadir ke Balai Polis Trafik IPD Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulpakha Bambo 014-8861791 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast