Muhammad Danial.

GEORGE TOWN – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa kerajaan menggubal reformasi menyeluruh melibatkan aspek keselamatan pengangkutan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) susulan tragedi kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, hari ini yang mengorbankan 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Naib Presiden Siswanya, Muhammad Danial Alimin berkata, insiden yang menyayat hati itu perlu menjadi titik perubahan (turning point) kepada pendekatan kerajaan dan IPT dalam memastikan keselamatan pelajar berada pada tahap tertinggi, terutama membabitkan perjalanan rasmi.

“Tragedi ini bukan sekadar berita hitam dalam dunia pendidikan tinggi negara, malah mencabar keutamaan kita terhadap keselamatan pelajar sebagai pewaris masa depan negara.

“Nyawa pelajar tidak boleh dianggap sekadar statistik. Setiap langkah keselamatan mesti dinilai semula dan diletakkan sebagai agenda utama pembangunan insan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, GPMS mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pengangkutan segera merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) Nasional melibatkan pengangkutan pelajar IPT secara rasmi.

Antara cadangan itu termasuk, penapisan ketat terhadap syarikat bas sewaan; audit menyeluruh terhadap latar belakang pemandu termasuk rekod kesihatan, lesen serta sejarah jenayah atau kesalahan trafik; penggunaan sistem Penentududukan Global (GPS) dan kamera pemuka (dashcam) pada setiap kenderaan pelajar rasmi.

“Selain itu, GPMS juga mencadangkan penubuhan Dana Tabung Kecemasan Pelajar Nasional bagi membolehkan bantuan segera disalurkan kepada keluarga mangsa serta menyediakan rawatan psikologi dan pemulihan kepada pelajar terlibat.

“Setiap aktiviti rasmi pelajar perlu dijamin perlindungan insurans yang sewajarnya, manakala sistem tindak balas bencana di kawasan luar bandar dan laluan berisiko juga perlu diperhebat dengan penempatan pusat kecemasan bergerak,” katanya.

Dalam masa sama, GPMS menggesa pihak pengurusan IPT agar tidak menyerahkan sepenuhnya keputusan perjalanan kepada penganjur atau pelajar tanpa penilaian risiko yang menyeluruh.

“GPMS komited menjadi suara mahasiswa Melayu dan akan terus mendesak agar tragedi seperti ini tidak lagi berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast