KUANTAN – Seorang pegawai penyelidik di Rompin mengalami kerugian lebih RM600,000 kerana terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, perkara itu disedari apabila wanita itu tidak dapat mengeluarkan RM50,000 daripada keuntungan berjumlah RM300,000 seperti dijanjikan.
”Pada 21 Mac 2025, mangsa ialah seorang wanita berusia 57 tahun, beliau telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp yang dikenali sebagai K81 Lombard Stock Investment Academy.
”Mangsa turut diarahkan untuk memuat turun aplikasi bernama LOARDMB melalui pautan yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pelaburan.
”Tiga transaksi pelaburan awal berjumlah RM14,000 telah dilakukan oleh mangsa dan beliau berjaya membuat satu pengeluaran awal sebanyak RM1,000, yang meyakinkan mangsa untuk meneruskan pelaburan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Yahaya, mangsa kemudian melakukan 28 transaksi atas talian ke dalam tiga akaun bank berbeza sehingga jumlah pelaburan mencecah RM600,500 antara 23 April hingga 4 Jun lalu.
Namun, apabila mangsa cuba mengeluarkan wang sebanyak RM50,000 daripada keuntungan yang dinyatakan RM300,000 dalam aplikasi itu, suspek telah meminta bayaran sebanyak RM200,000 sebagai caj perkhidmatan, ujarnya.
”Mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu,” katanya.
Yahaya berkata, sumber kerugian adalah wang simpanan milik mangsa. – MalaysiaGazette
















