KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) memandang serius tindakan Sisters in Islam (SIS) yang merayu ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar fatwa Selangor 2014 setelah mengisytiharkan SIS terlibat dalam fahaman liberalisme dan pluralisme agama bercanggah dengan ajaran Islam.
Setiausaha Agungnya, M Firdaus Baharuddin berkata, fatwa merupakan ketetapan hukum yang sah, digubal oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan mengikat orang Islam di negeri berkenaan.
Tegasnya, cubaan membawa isu berkenaan ke mahkamah sivil jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bidang kuasa agama di bawah mahkamah syariah dan raja-raja sebagai ketua agama negeri.
“Walaupun SIS Forum Berhad adalah sebuah syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat, namun tujuan, visi, misi, keahlian dan aktiviti mereka adalah berkait langsung dengan orang Islam dan hal ehwal Undang-Undang Islam.
“Oleh itu, sewajarnya mereka tertakluk dan terikat kepada keputusan pihak berkuasa agama Islam, termasuk fatwa yang digazetkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
M Firdaus menegaskan bahawa tiada individu, pertubuhan atau syarikat boleh menjadikan nama Islam sebagai platform menyebarkan ajaran berkait Islam kepada masyarakat umum tanpa tauliah sah daripada pihak berkuasa agama negeri.
Ujarnya, tindakan sedemikian merupakan satu kesalahan menurut undang-undang dan juga syarak.
Tambah beliau, umat Islam wajib menolak dan melaporkan sebarang penyelewengan atau kekeliruan terhadap ajaran Islam kepada pihak berkuasa agama termasuk individu atau organisasi yang memperalatkan kebebasan bersuara untuk menyesatkan masyarakat.
“Pembela menyokong penuh titah Sultan Selangor agar seluruh masjid dan surau mengadakan solat hajat khas pada 6 dan 13 Jun 2025. Titah ini mencerminkan keprihatinan institusi Di-Raja terhadap ancaman terhadap institusi Islam dan kedudukan agama dalam Perlembagaan,” katanya.
Menerusi kenyataan sama M Firdaus menyeru umat Islam seluruh negara supaya mempertahankan institusi fatwa dan kuasa raja-raja sebagai ketua agama serta menolak fahaman liberalisma dan pluralisma agama.
Umat Islam katanya, perlu melaporkan sebarang penyebaran ajaran menyeleweng kepada pihak berkuasa agama selain terus berdoa supaya keputusan Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun ini berpihak kepada kedaulatan undang-undang Islam dan ketinggian Islam di Malaysia.
“Kes ini adalah ujian terhadap kedaulatan Islam sebagai agama negara. Pembela akan terus komited mempertahankan kesucian akidah umat dan maruah agama Islam daripada ancaman ideologi yang menyesatkan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















