Para petugas SAR dalam operasi mencari mangsa hanyut di Sungai Triang, Bera hari ini.

KUANTAN – Wanita yang menjadi mangsa hanyut arus Sungai Triang, Bera dekat sini setelah kereta dinaikinya jatuh ke dalam sungai sempat menghulurkan anak mereka yang masih bayi kepada suaminya ketika kejadian.

Ketua Polis Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 1.30 petang tadi, mangsa dan anak perempuan berusia setahun empat bulan berada di dalam kereta tersebut sementara suaminya sedang memancing.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati suami mangsa sedang memancing di tepi Sungai Triang berhampiran Pasar Ayam Kerayong manakala mangsa dan anaknya berada di dalam kereta jenis Perodua Bezza pada jarak kira-kira lapan meter daripada lokasi suaminya.

“Tiba-tiba kereta tersebut telah bergerak ke hadapan lalu terjatuh ke dalam sungai berhampiran tempat suami mangsa memancing.

“Sebelum kereta ditenggelami air, mangsa sempat keluar dari kereta dan menyerahkan anak kepada suami namun selepas itu mangsa telah dihanyutkan oleh arus sungai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Zulkiflee berkata, anak perempuan mangsa selamat namun sehingga kini mangsa, Sakirah Akop, 31, masih belum ditemui.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 2.05 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan Jabatan Bomba dan Penyelamat  Malaysia (JBPM) kira-kira 30 minit kemudian.

Bagaimanapun, katanya, SAR hari ini terpaksa ditangguhkan pada pukul 6.20 petang susulan cuaca gelap serta mulai hujan dan operasi akan bersambung semula pada  8 pagi esok. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita dikhuatiri lemas, kereta hanyut di Sungai Teriang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast