Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas terlibat kemalangan di Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, malam tadi.- Foto ihsan bomba Johor.

KLUANG – Seorang peniaga maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan treler   muatan bahan bakar di Kilometer 39, Jalan Batu Pahat-Mersing di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata,  kejadian pukul 9.50 malam itu mengorbankan Cheng Tow Kheong, 52, yang memandu kereta jenis Perodua Myvi.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler lori yang membawa muatan diesel dan petrol.

“Treler berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun dalam perjalanan dari Ayer Hitam menuju ke Kluang, manakala kereta mangsa datang dari arah bertentangan.

“Kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Isyadi Dani berkata, sepasukan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 10.04 malam.

Beliau memberitahu, mereka turut dibantu  sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang digerakkan ke lokasi dengan jarak 11 kilometer.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, seorang mangsa didapati tersepit dalam kereta Myvi.

“Pasukan bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang kemudiannya disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast