Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk syarikat-syarikat yang memiliki kenderaan berat seperti bas dan lori digesa supaya menyokong inisiatif Kementerian Pengangkutan berhubung pelaksanaan mandatori pengehad kelajuan.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, langkah itu adalah bagi membantu kerajaan dalam memastikan kejayaan dasar yang hendak dilakanakan.

“Pada masa yang sama, pihak berkuasa juga harus menggiatkan lagi tindakan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, terutama sekali ke atas kenderaan berat.

“Di samping itu, kempen kesedaran juga harus diperbanyakkan untuk mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan, kerajaan kini sedang merangka dasar baharu termasuk pelaksanaan mandatori pengehad kelajuan pada kenderaan berat, sebagai langkah memperkukuh dasar keselamatan jalan raya.

Katanya, polisi berkenaan sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk mekanisme bagi menutup sebarang ruang manipulasi apabila ia dikuatkuasakan kelak.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan nahas yang meragut nyawa 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Tragedi itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu bas selain pemandu serta tiga penumpang MPV jenis Perodua Alza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast