KUALA LUMPUR – Seorang bekas pendaftar sebuah universiti swasta di Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 36 pertuduhan memalsukan dokumen bagi mengeluarkan wang berjumlah RM826,481.29 milik universiti berkenaan.
Bagi semua pertuduhan, Mohd Fairuz Al-Fatah Badarudin, 40, didakwa memalsukan dokumen iaitu Authorisation Letter berjumlah RM826,481.29 bertujuan untuk menipu.
Tertuduh yang juga bekas pegawai khas universiti berkenaan didakwa melakukan semua perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Raja Chulan di sini antara 20 Jun 2022 dan 10 Julai 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) G. Sivajothi Pillai yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000.
Peguam berhujah, anak guamnya kini bekerja sebagai pensyarah di sebuah institusi latihan penerbangan berpendapatan RM2,600 sebulan.
“Tertuduh juga perlu menyara dua orang anak kembar berumur 10 tahun manakala isterinya yang berumur 41 tahun tidak bekerja selepas terlibat dalam kemalangan menyebabkannya patah kaki kiri.
“Tertuduh memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan,” kata peguam itu.
Hakim Suzana Hussin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 17 Julai ini. – MalaysiaGazette















