Gambar : IPD Temerloh

KUANTAN – Dua remaja perempuan maut selepas motosikal dinaiki dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta ketika berhenti di lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, Temerloh malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11 malam.

“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dinaiki dua remaja berusia 18 tahun itu dari arah Mentakab menghala ke Bukit Angin.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal itu berhenti kerana lampu isyarat merah. Bagaimanapun, kereta jenis Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 38 tahun yang dari arah sama tidak memberhentikan kereta lalu melanggar belakang motosikal itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa yang beralamat di Taman Temerloh Jaya dan Felda Bukit Damar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Mazlan berkata, pihaknya menemukan satu peket palstik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu seberat 50.85 gram di dalam kereta Perodua Bezza yang dipandu lelaki berbangsa cina terbabit.

“Turut ditemukan, dua peket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan warna keperangan disyaki dadah jenis heroin seberat 0.85.

“Kesemua peket plastik ditemukan di bahagian tempat duduk belakang sebelah kiri kereta itu,” tambahnya.

Gambar : IPD Temerloh

Namun, beliau memberitahu, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas lelaki yang beralamat di Kepong, Kuala Lumpur itu didapati negatif.

Mazlan berkata, pihaknya akan membuat permohonan reman di Mahkamah Temerloh pagi ini terhadap lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast