KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dalam menuju era teknologi maju, termasuk Kecerdasan Buatan (AI) media perlu kekal berpijak pada prinsip kebenaran, keadilan serta mementingkan nilai kemanusiaan sejagat.
Perdana Menteri berkata, pendekatan menggapai langit tetapi tetap mengakar ke bumi yang bersifat inklusif dan berteraskan etika harus perlu menjadi teras.
“Saya fikir dalam negara madani ia tidak boleh kesampingkan. Dalam dunia pendidikan selalu saya tekankan. Fokus kita adalah untuk menggapai di langit.
“Industri baru, teknologi baru, cabaran baru, artificial intelligence, digital, kesediaan untuk mengadakan membuat beberapa perubahan dan anjakan paradigma termasuk dalam isu transisi tenaga.
“Itu maknanya menggapai di langit. Suatu hal yang kaedah dan disiplin yang sangat mencabar. Dia berencam dan mencabar kekuatan kita, minda kita terutama dalam disiplin dan teknologi baru”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’ ia menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, terutama rantau ASEAN,.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri, Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Musafa dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Menyentuh mengenai kebebasan media di negara ini, Perdana Menteri berkata, ada perkara yang dibolehkan tetapi haruslah memegang nilai kesopanan dan kesusilaan.
Ujar beliau, tiada negara yang memberi kebebasan mutlak kepada wartawan, termasuk dirinya sendiri juga tiada kebebasan mutlak walaupun Perdana Menteri.
“Dalam konteks Malaysia yang sering dicurigai mengandaikan bahawa Perdana Menteri harus mempunyai kuasa mutlak untuk memberikan kebebasan penuh. Tidak ada negara di dunia yang menjamin kebebasan sepenuhnya.
“Ia terikat kepada landasan dan semangat Perlembagaan. Terikat pula dengan sistem dan keseimbangan dalam pemerintahan dan apa yang dinasihatkan, dipedoman oleh raja-raja Melayu untuk menjamin keharmonian dan kesantunan.
“Tetapi ini tidak harus dianggap sebagai menghalang. Tidak ada dalam peraturan yang menghalang kita memberikan apa-apa nasihat dan teguran termasuk kepada raja-raja. Yang dipertikaikan adalah serangan, cercaan kepada satu kelompok yang dimuliakan, menjadi tonggak dalam sistem pemerintahan negara,” katanya. MalaysiaGazette
















