KUANTAN – Seorang pemilik kedai telefon bimbit berdepan detik cemas nyaris dikelar oleh seorang wanita warganegara Myanmar dalam kejadian di Taman Impianku di sini petang tadi.
Menurut Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mendakwa berlaku kejadian rompak bersenjata pisau di premis tersebut pada pukul 3.41 petang.
“Menurut mangsa, sebelum kejadian berlaku, suspek datang ke kedainya untuk membeli tambah nilai pra bayar berjumlah RM30 dan telah membayar secara tunai.
“Mangsa cuba berbual dan bertanya kepada suspek datang dari mana kerana suspek dalam keadaan tidak terurus. Suspek memberitahu dia datang dari Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Wan Mohd Zahari, selepas menjawab persoalan itu, suspek meminta bantuan mangsa untuk mengecas telefon bimbit miliknya.
Mangsa yang bersetuju kemudian mengambil telefon bimbit itu untuk dicas di kaunter kedai tersebut.
Bagaimanapun semasa mangsa memalingkan badan membelakangi suspek, tiba-tiba suspek mengacukan benda tajam iaitu pisau jilet ke arah leher mangsa.
“Mangsa kemudian menoleh ke belakang dan terus menepis tangan suspek sehingga berlaku pergelutan. Mangsa bagaimanapun menyatakan suspek tidak ada membuat apa-apa ugutan, pemerasan atau meminta wang,” tambah Wan Mohd Zahari.
Hasil tindakan pantas mangsa, dia berjaya meminta bantuan orang ramai di mana suspek kemudian berjaya dikurung di dalam kedai sementara rakan mangsa menghubungi polis dan ambulans.
Wan Mohd Zahari memaklumkan mangsa hanya mengalami kecederaan kecil hirisan di leher dan di kaki sebelah kiri serta tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Suspek bagaimanapun telah ditangkap bagi siasatan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
“Hasil siasatan awal rakaman keterangan suspek pula mendapati dia bertindak mengeluarkan pisau jilet yang disimpan di dalam beg galasnya kearah mangsa kerana mangsa ada mengeluarkan kata-kata tidak sopan kepada suspek semasa proses menunggu telefon bimbitnya selesai dicas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















