Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon bercakap pada media berkenaan Majlis Sambutan Hari Denggi Asean 2025 di Apartment Idaman PJU10, Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 15 JUN 2025.

PETALING JAYA – Sebanyak 1,194 kes demam denggi dilaporkan di Petaling Jaya bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, jumlah berkenaan merupakan peningkatan 18 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Bagi Apartment Idaman ini pada tahun 2024 sebanyak lebih 70 kes denggi. Untuk tahun ini sehingga Mei ini ada 24 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Denggi ASEAN 2025 yang diadakan di Apartment Idaman, Damansara Damai, hari ini.

Jelasnya, sehingga kini 19 lokaliti wabak dikenal pasti termasuk apartment itu.

“Ini (Apartment ini)  adalah salah satu hotspot di Petaling Jaya yang mencatat angka tinggi jangkitan denggi selain dua lokaliti hotspot yang mencerminkan betapa mendesaknya keperluan untuk mempertingkatkan tindakan pencegahan dan kawalan denggi secara menyeluruh.

“Untuk makluman kalau angka denggi di Petaling Jaya berjaya diturunkan, bermakna akan turunlan angka denggi di peringkat kebangsaan (secara keseluruhannya),” katanya.

Mengulas lanjut Mohamad Zahri berkata, usaha membanteras denggi memerlukan komitmen bersama pelbagai pihak.

“Usaha membanteras wabak denggi bukan hanya tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semata-mata. la memerlukan kesedaran, kerjasama dan tindakan berterusan daripada seluruh komuniti.

“Saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama, bergotong royong dengan penduduk untuk melakukan program hari ini,” katanya.

Terdahulu katanya, program yang berlangsung pada hari ini merupakan antara 31 pengisian Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena sambutan ulang tahun ke-19.

Ujarnya, program kemuncak akan berlangsung pada 21 Jun ini di Menara MBPJ. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast