Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberi amaran bermula 1 Julai ini, rakyat akan dibebani dengan apa yang disifatkan sebagai ‘penyakit ekonomi tiga serangkai”.

Menurut beliau, bermula 1 Julai 2025, rakyat akan dibebani perkara itu selepas peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula.

“Bukan penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi tetapi satu bentuk penderitaan ekonomi yang tak kurang parahnya,” katanya sinis dalam kenyataan.

Saifudin merujuk kepada tiga faktor utama yang dijangka menekan rakyat iaitu kenaikan dan peluasan SST, penyasaran subsidi RON95 serta peningkatan bil elektrik yang memberi kesan langsung kepada golongan B40 dan M40.

“Inilah realiti yang sedang dan bakal ditanggung rakyat. Jangan terus menambah derita rakyat dengan dasar yang keliru dan tidak berpijak pada realiti,” tegasnya.

Tambah beliau, rakyat bukan makmal eksperimen dasar ekonomi kerajaan, sebaliknya manusia yang mempunyai keluarga dan kehidupan yang perlu dijaga.

Dalam pada itu, Saifuddin bimbang terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa telah mengelirukan orang ramai berhubung sistem percukaian negara.

Menurutnya, dalam sebuah video yang tular baru-baru ini, Perdana Menteri yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan dilihat telah tersilap menjelaskan maksud Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan SST.

“Beliau menyatakan bahawa GST adalah singkatan kepada General Service Tax yang mencukai semua perkara manakala SST pula hanya dikenakan ke atas barangan import. Kedua-dua kenyataan ini adalah tidak tepat,” katanya.

Tegas Saifuddin, GST sebenarnya merujuk kepada Goods and Services Tax (Cukai Barang dan Perkhidmatan), yang melibatkan barangan dan perkhidmatan secara menyeluruh bukan sekadar perkhidmatan umum seperti yang dinyatakan Perdana Menteri.

“SST pula tidak terhad kepada barangan import sahaja, sebaliknya turut dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tempatan tertentu,” jelasnya.

Bekas Menteri Luar Negeri itu turut menyuarakan rasa kecewa terhadap kelemahan Perdana Menteri dalam memahami sistem percukaian yang beliau sendiri kendalikan.

“Jika ketua kerajaan sendiri gagal memahami sistem percukaian negara, bagaimana mungkin rakyat boleh yakin bahawa dasar fiskal negara berada di landasan yang betul?” soalnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast