Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bergambar selepas hadir ke Perhimpunan Bulanan serta majlis Peluncuran Akademi Perundangan Negara ketika di Bangi, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 16 JUN 2025.

BANGI – Malaysia perlu mewujudkan undang-undang baharu berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani ancaman yang semakin berkembang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut beliau, satu surat telah dihantar kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo bagi mencadangkan agar aspek perundangan berkaitan AI diteliti dan dibangunkan secara serius.

“Cabaran terbesar hari ini ialah isu AI yang menggunakan format-format tertentu. Sebab itu saya telah menulis kepada Menteri Digital agar meneliti keperluan undang-undang AI dan perkara berkaitan untuk negara kita.

“Perlu ada satu jawatankuasa bersama antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Kementerian Digital berkaitan undang-undang AI,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Akademi Perundangan Kebangsaan di sini hari ini.

Azalina berkata, pada masa ini hanya Kesatuan Eropah (EU) mempunyai undang-undang AI yang terperinci menerusi Akta AI Eropah (EU AI Act), dan Malaysia boleh meneliti akta tersebut sebagai rujukan untuk diaplikasikan mengikut kesesuaian konteks tempatan.

Mengulas peranan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Azalina memaklumkan, pelbagai jawatankuasa telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh hakim-hakim berpengalaman termasuk yang telah bersara, bagi meneliti perubahan landskap teknologi dan keperluan semasa.

“Salah satu isu utama sekarang ialah usaha untuk mendigitalisasikan sistem mahkamah. Kini kita sudah ada sistem suara ke teks, dan pelbagai sistem atas talian.

“Apa yang kita mahukan ialah sistem kehakiman yang lebih efisien,” katanya.

Terdahulu, Gobind dilaporkan berkata satu laporan penuh berkaitan cadangan peraturan serta kemungkinan penggubalan undang-undang khusus untuk AI sedang dimuktamadkan oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang ditubuhkan oleh Kementerian Digital tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast