MELAKA – Seorang bekas pengarah sebuah jabatan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas disyaki menggunakan dana jabatan itu berjumlah RM50 juta untuk pelaburan saham.

Penahanan suspek lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret N.Sivashangari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan khas agensi itu sebelum dibawa keluar sejam kemudian.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan seorang pengarah sebuah Jabatan Kewangan PBT di negeri ini disyaki menyalahgunakan kuasanya melabur saham kira-kira RM50 juta.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020 hingga 2023 dengan melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank sebagai agen pelaburan bagi pelaburan saham berjumlah kira-kira RM50 juta.

Siasatan awal mendapati suspek juga dipercayai menggunakan dana wang awam dan juga wang amanah tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast