ohari Abdul Ghani lancar Dana Hubungan Industri 2.0 di ibu negara, hari ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Getah Malaysia (MRC) hari ini melancarkan Dana Hubungan Industri 2.0 (ILF 2.0), satu inisiatif strategik untuk memperkukuhkan industri getah Malaysia melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama antara industri dan akademia.

Pelancaran ILF 2.0 ini bertujuan untuk menangani cabaran dalam inovasi teknologi bagi produk dan proses pengeluaran berkaitan getah yang baharu atau yang telah ditambah baik, dengan penekanan terhadap aktiviti pra-pengkomersialan.

Dana ini akan menyokong syarikat produk getah hiliran di Malaysia dalam mengubah penyelidikan saintifik kepada usaha komersial yang dapat meningkatkan kedudukan industri di peringkat global.

ILF 2.0 mencerminkan visi kerajaan terhadap industri getah yang mampan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi negara untuk membina ekonomi bernilai tinggi dan didorong oleh inovasi.

Ia merupakan inisiatif yang tepat dan strategik oleh MRC dalam menegaskan komitmen Kerajaan untuk menggalakkan aktiviti berbentuk penyelidikan, inovasi, dan pengkomersialan berimpak tinggi dalam sektor getah.

Berdasarkan kejayaan inisiatif terdahulu iaitu Dana Hubungan Industri (ILF) dan Dana Inovasi Getah Global (GFRI), ILF 2.0 mengambil pendekatan yang lebih tertumpu dan berimpak.

Program pembiayaan sebelum ini telah berjaya menghasilkan pembangunan dan pengkomersialan beberapa inovasi serta produk getah baharu melalui kerjasama strategik antara pemain industri dan institusi penyelidikan tempatan, sekali gus mengukuhkan hubungan industri-akademia.

ILF 2.0 menyediakan geran separa sehingga RM300,000 bagi setiap projek, dengan nisbah pembiayaan 70:30 untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan 50:50 bagi syarikat besar.

Dana ini terbuka kepada syarikat produk getah yang berdaftar di Malaysia dan syarikat- syarikat ini amat digalakkan untuk bekerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan atau antarabangsa.

Projek yang dibiayai mestilah menunjukkan daya maju pasaran, peningkatan nilai produk, atau penambahbaikan proses yang boleh menyumbang kepada margin keuntungan yang lebih tinggi serta meningkatkan daya saing industri.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang melancarkan dana ini menyeru semua pemain industri, terutamanya PKS, untuk merebut peluang ini dan memanfaatkan sepenuhnya sokongan yang disediakan.

MRC juga telah diarahkan untuk memberi tumpuan yang lebih terhadap pengukuhan sektor pertengahan melalui program sedia ada dan program baharu, kerana inisiatif ini sudah pasti akan memainkan peranan penting dalam membentuk industri getah yang bukansahaja lebih mampan dan inovatif, tetapi juga lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast