Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi menaik taraf 30 buah sekolah yang berada dalam kawasan kem tentera di seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kesemua sekolah terbabit tidak ditadbir di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), sebaliknya dikendalikan secara langsung oleh Kementerian Pertahanan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan peruntukkan RM20 juta akan diberikan kepada Kor Kejuruteraan Tentera bagi membantu menaik taraf fasiliti di sekolah-sekolah yang berada dalam kawasan kem tentera.

“Memandangkan sekolah-sekolah tersebut sebenarnya bukan di bawah jagaan KPM tetapi di bawah Kementerian Pertahanan dan kita percaya ini akan dapat membantu menyelesaikan beberapa isu yang dihadapi oleh sekolah tersebut,” katanya dalam sidang media selepas pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan untuk beberapa projek di Pangkalan Tentera Laut Malaysia (TLDM) Lumut yang diluluskan tahun ini, demi kesejahteraan warga pasukan keselamatan.

Beliau dilaporkan berkata, sebanyak RM65 juta diperuntukkan bagi pembinaan sebuah kompleks klinik pakar dan naik taraf Hospital Angkatan Tentera (ATM), di pangkalan itu.

Anwar berkata peruntukan khas turut diluluskan untuk menaik taraf 34 sekolah di kem-kem keselamatan dan pangkalan tentera, termasuk tandas dan makmal bagi memberi keselesaan kepada anak-anak anggota. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast