PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan perkembangan sebuah kapal Littoral Combat Ship (LCS) daripada lima buah yang dirancang dan akan disusuli dengan kapal kedua menjelang pada hujung 2025.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kejayaan itu disifatkan sebagai bukti kemampuan sebenar jurutera dan tenaga kerja tempatan dalam menyelesaikan projek strategik pertahanan yang kompleks dan berisiko tinggi.
“Sewaktu lawatan di Lumut, Perak, Perdana Menteri telah menyaksikan kapal LCS dan memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa beliau berpuas hati dengan siapnya salah satu daripada lima kapal yang dirancang.
“Kapal kedua dijangka akan siap pada hujung tahun 2025 manakala kapal ketiga pula dijangka siap pada tahun hadapan dan ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani bukan sekadar meneliti permasalahan yang berlaku dalam pelaksanaan projek seperti LCS.
“Tetapi ia juga mampu menyelesaikannnya dengan baik, termasuk menggunakan jurutera-jurutera tempatan maka ini satu pencapaian yang membanggakan,” ujarnya pada sidang media selepas pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Untuk rekod, projek LCS bernilai RM9 bilion itu sebelum ini menjadi perhatian kerana kelewatan yang berpanjangan serta pengurusan yang tidak telus hingga mencetuskan siasatan Parlimen dan pelbagai agensi penyiasat.
Sejak pelancarannya pada tahun 2011, tiada satu pun kapal sempat disiapkan mengikut jadual asal menyebabkan kebimbangan terhadap tahap kesiapsiagaan angkatan laut negara.
Bagaimanapun selepas pengambilalihan pentadbiran baharu pada akhir 2022, kerajaan telah mengambil pendekatan lebih telus berasaskan hasil serta menekankan tanggungjawab pengurusan. – MalaysiaGazette
















